Daripada Abu Said al-Khudri r.a. bahawasanya Nabi S.A.W bersabda, “Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang membunuh 99 orang. Kemudian dia ingin bertaubat. Dicarinya seorang yang paling alim. Lalu ditunjukkan kepadanya seorang ahli ibadah. Dia menyatakan bahawa dia telah membunuh 99 orang. Adakah dia boleh bertaubat? Jawab ahli ibadah itu, “Tidak!”. Lalu dibunuh pula ahli ibadah itu. Kini jumlah orang yang dibunuhnya berjumlah 100 orang.
Kemudian dia mencari orang yang paling alim, maka ditunjukkan kepadanya. Maka beliau menyatakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh 100 orang. Apakah dia boleh bertaubat? Jawab orang alim tersebut, “Ya! Sesiapa yang berhajat bertaubat tiada sesiapa yang boleh menghalangnya berbuat demikian. Pergilah kamu ke suatu tempat (diterangkan sifatnya di mana terdapat orang-orang yang taat kepada Allah S.W.T). Beribadahlah bersama mereka dan janganlah kembali ke negerimu kerana negeri itu tempat penjahat.”
Maka orang itu pun menuju ke sana. Dalam perjalanan itu dia telah mati mengejut. Maka berlakulah pertengkaran antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Kata Malaikat Rahmat, “Dia datang untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan sepenuh hatinya.” Kata Malaikat Azab pula, “Sesungguhnya dia belum pernah langsung melakukan kebajikan.” Lalu datang pula kepada mereka malaikat yang berupa manusia sebagai hakim antara mereka. Lantas hakim itu berkata, “Ukurlah antara dua negeri itu, manakah yang lebih dekat kepadanya, ia adalah untuknya.” Maka mereka mengukurnya dan didapati bahawa yang hampir kepadanya ialah negeri yang dituju. Lantas Malaikat Rahmat menyelamatkan rohnya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan